Pages

Saturday, September 21, 2019

Masjid, Ekonomi, dan Sosio Budaya | Projek BMF


Sekarang Malaysia berada dalam satu gelombang baru iaitu gelombang "Buy Muslim First", atau lebih dikenali dengan singkatan BMF. Satu gelombang yang menggalakkan membeli barangan buatan Muslim, iaitu bertepatan dengan apa yang disarankan oleh setiap umat Islam, untuk membeli barangan yang dikategorikan sebagai halalan toyyiban.

Bukan memboikot barangan buatan lain, cuma menggalakkan semua umat Islam di Malaysia untuk menyokong produk buatan Muslim. Muslim ni bukan bangsa. Ia cuma satu perkataan yang melambangkan satu kesamaan untuk semua bangsa, tidak kira Melayu, Cina, India, dan lain-lain yang memeluk agama Islam. Yang menyembah Tuhan yg Esa. Perlu faham konteks "Muslim".

Ramai yang mengatakan projek BMF ini sudah menampakkan bibit-bibit hasil kepada pengusaha produk Muslim. Banyak produk buatan yang sebelum ni agak sendu di pasaran, mula mendapat perhatian. Dengan wujudnya satu group di Facebook, yang sangat aktif, membuka mata ramai pihak yang sebenarnya wujud produk buatan Muslim untuk kategori produk yang sebelum ini tidak diketahui kewujudannya. 

Kurangnya "awareness" berkenaan produk itu mungkin kerana kekangan kewangan untuk memperbanyakkan "marketing", atau sebelum ni kita sendiri yang tidak cakna. Walau apa pun, peningkatan pencarian produk buatan Muslim sudah mula semakin meningkat. 

Tapi, saya merasakan projek BMF ini boleh dipertingkatkan jika adanya sokongan dari pihak masjid. Dengan adanya sokongan dari seluruh masjid di Malaysia, akan menambahkan lagi hasil dan kesan terhadap kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli.

Masjid di Malaysia bukan beratus bang... Masjid di Malaysia ada berpuluh ribu, mungkin lebih lagi. Cuma tak sampai la 1 trillion. Kalau sampai 1 trillion tu, nampak sangat masjid lebih banyak dari jumlah penduduk manusia di Malaysia.

Dalam beribu masjid yang ada, sebahagian daripada masjid ini ada ruangan tanah yang besar di sekitar masjid. Masjid yang besar biasanya sememangnya ada ruangan yang boleh digunakan untuk tujuan projek BMF ini. Macam mana?

Sediakan satu ruangan tapak jualan khusus bagi produk muslim yang halalal toyyiban di ruangan masjid. Yang mana masjid yang ada dana yang banyak, boleh memulakan satu projek membuat MasjidMart (sebagai contoh), untuk dijadikan sebagai Halal Hub untuk penduduk sekitar.

Segala sewaan dan jualan setiap produk, pihak masjid akan dapat sebahagian keuntungan, untuk kegunaan pembangunan masjid. Pihak pengusaha produk muslim mempunyai tempat untuk menjual dan mempromosikan produknya. 

Bukan itu sahaja, di masjid juga boleh dibuat satu latihan, seminar, atau kursus percuma hasil dari keuntungan sewaan tapak atau bangunan tadi, bagi memberi pencerahan kepada semua pihak, penjual, pengusaha, dan pembeli tentang apa itu halalal toyyiban, bagaimana jual beli dalam islam, ekonomi islam dan lain-lain. Sudah tiba masanya Masjid membuat satu langkah ke hadapan sebagai pemacu perkembangan ekonomi Islam di kawasan serantaunya. Sedarkan apakah sebenarnya maksud makanan halal dan haram. Bukan adanya tertulis "No Pork", terus boleh masuk makan. Ceteknya ilmu anda tentang halal dan haram kalau itulah jadinya.

Ada beberapa contoh Masjid yang sudah membuat beberapa langkah dalam perkembangan ekonomi di kawasannya. Contoh paling ketara, di Masjid Al-Hasanah, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Satu masjid yang perlu dijadikan sebagai contoh. Selalu dihidupkan bukan sahaja untuk tujuan keagamaan biasa, tetapi juga menjadi pusat ekonomi di kawasan Bangi.

Satu lagi yang boleh dijadikan sebagai contoh ialah Masjid Darussalam, Kg. Pasir Bahru, Puchong. Di kawasan masjid ada dobi, dibuat aktiviti penanaman sayur, mempunyai kompleks untuk disewa, hanya menggunakan dana masjid, tidak ada bantuan dari mana-mana pihak. 

Cuba bayangkan, kalau kesemua masjid di seluruh Malaysia, cuba membantu dan mengimarahkan masjid dengan satu usaha untuk memperkembangkan ekonomi negara dengan menyediakan tempat kepada semua pengusaha produk Muslim, sudah pasti ia akan dapat membantu menjayakan projek BMF ini. 

Di zaman dulu, masjid adalah pusat ilmu, pusat pentadbiran, pusat ekonomi, dan pusat penyatuan seluruh umat. Kenapa kita tidak menggunakan masjid sebaiknya? Sambil meningkatkan ekonomi, tingkatkan juga iman semua pihak, menggalakkan sembahyang berjemaah di masjid. Galakkan semua anak muda datang ke masjid dengan aktiviti yang bermanfaat. 

Jom sebarkan dan bawakan agenda ini kepada seluruh Ahli Jawatankuasa masjid di kawasan anda... Bantu masyarakat, bantu ekonomi kita.. platform sudah ada.. ayuh! Bangkitlah!

No comments:

Post a Comment

Silalah komen, jika mahu share entri ini,dipersilakan..Janji letak backlink yer... Terima kasih kerana sudi membaca entri ini..:)