Bila fakta
dimanipulasi oleh golongan yang pandai memanipulasikan cerita.... yang
fakta pun jadi auta.. yang auta dijadikan fakta... haih... kesian pulak
bila difikirkan balik... kenapa tak jujur jer menyampaikan satu-satu
kenyataan oleh pihak yang ditanya? Kenapa perlu ditapis-tapis mengikut
selera sendiri? Yang benar dijadikan agenda, yang isu dihilangkan dengan
isu lain.. mana nak cari kebenaran... Ikuti laporan terbaru dari Mufti
Perak berkenaan isu bughah yang telah menjadi mangsa golongan yang suka
memanipulasikan berita dan laporan mengikut kepala sendiri....
BANGI, 6 Jan – Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi sebagai
penjelasan berhubung kenyataannya dalam isu bughah.
Dalam satu kenyataan sebanyak enam muka
surat itu, Tan Sri Harussani menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju
jika demonstrasi dijadikan sebagai cara terbaik untuk menggerakkan
kerajaan yang lalai.
Jelasnya, beliau tidak rela dengan apa
yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara
kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa
terkorban.
Beliau juga risau sekiranya demonstrasi
ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang
ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan
ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.
Selain itu, beliau juga menyalahkan
pihak media yang menemuramah beliau kerana tidak menyiarkan sepenuhnya
kenyataan beliau dalam isu-isu yang berkaitan semasa sesi temuramah
tersebut.
Atas sebab kerisauan yang amat
tinggi, beliau menzahirkannya dengan mungulangi ketetapan para ulama
yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara
kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
KENYATAAN RASMI S.S. MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK BERKAITAN ISU “ BUGHAH ” DAN “ HALAL DARAH ”
Merujuk kepada laporan akhbar Berita
Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan
di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka
“Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu penderhaka
terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian
ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap
kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan
golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di
halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu
“Bughah” dan demonstrasi.
Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemic dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila
ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun,
kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut
dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN”
sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di
Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.
Diizinkan Allah saya dapat menatap isu
dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh
pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran demonstrasi
dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya.
Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam
skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah
orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku
pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga
Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan
menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan
menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang
keruh.
Nasihat dan peringatan
Oleh yang demikian, selagi diberi
amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan
kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya. Sudah tentu ayat
al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud :
“…Dan jika dua puak dari
orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya;
jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang
melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika
ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut
hokum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara);
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .
Sebab penurunan ayat ini dengan satu
riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin
Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing
himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah
menyakiti beliau.
Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza)
Saya berpandangan bahawa syarat
“syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan
seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab
nihayatul Muhtaj.
Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada
kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini
tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang
mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman
kepada pemerintahan.
Pembentukan negara kita berasaskan
sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan
pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu,
adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme
yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai
instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti parlimen,
Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah. Tanpa menafikan
hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan
namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya.
Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan
lebih terhasil daripada manfaat.
Larangan memberontak
Saya menekuni hadis yang diriwayatkan
oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya akan timbul selepas
aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan
perkara-perkara yang kamu ingkar ”. Sahabat bertanya , “ Wahai
Rasulullah ! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda
SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan
mintalah hak kamu daripada Allah ”.
Imam Al Nawawi menyatakan bahawa
terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun
pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan
hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu
merendahkan diri kepada Allah dalam usaha menghapuskan kemudaratan
pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini
bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik
adalah secara bersemuka.
“Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud)
Antara adab penting yang wajib diambil
kira dalam menasihati pemimpin ialah memberi nasihat secara sembunyi,
bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:
“Sesiapa yang ingin menasihati
pemerintah berkenaan sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara
terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi
sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi
sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang
memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.”(HR Imam Ahmad)
Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan
dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah sepakat atas
kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad
bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana
dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi
ketenangan kepada orang ramai ”.
Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut
bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan
kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan
Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya
tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.
Jika dikatakan demonstrasi adalah cara
terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu
bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang
berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan
berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi
tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati
segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan
masyarakat tidak akan berlaku. Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan
kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik
serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah
terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan
kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan
mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha
menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada
kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.
Saya menyeru semua umat Islam
berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang
berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana
mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah
pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :
Jika datang kepada kamu sekumpulan
manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan
kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat
Muslim)
Hadith ini sebagai peringatan serius
Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah
umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.
Kesimpulannya, sekiranya berlaku
percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan
penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan reality semasa di
negara ini. Saya tiada niat lain kecuali mencari redha Allah dan melihat
perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi
cabaran-cabaran semasa.
The End
Okeh... dari laporan nie...nampak la kenyataan Mufti Perak dimanipulasikan.... kesimpulan sebenarnya... cuma tidak elok berdemonstrasi secara membabi buta.. elok diberi nasihat secara sembunyi kepada pemerintah... jika tidak didengari, terpaksa ikut dulu buat seketika..bila dah tiba masa rakyat berkuasa (PRU yang seterusnya), maka gunalah kuasa memilih itu sewajarnya... Faham? Jangan mudah lupa sudah la yer...Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga kan... :)
Boleh dibuat memorandum dan surat bantahan... demo secara aman takpe..cuma takut ada segolongan cuba menjadi batu api dalam selimut je.. Dibaling batu, disorok tangan, dituding ke arah sipulan yang tak tau pape...u know wat i mean..
No comments:
Post a Comment